Kongsisama Pas Penuntut

Posted by Unknown on Thursday, April 14, 2011 with 1 comment

Sekolah Rendah Tungku kelmarin telah mengadakan perkembangan staff bagi guru-guru dengan menjemput pegawai-pegawai dari Unit Pengakuan Belajar (UPB) iaitu Cikgu Haji Mansor bin Haji Samat dan Cikgu Abdullah bin Bahar untuk menerangkan kepentingan dan keperluan Pas Penuntut yang hanya melibatkan murid-murid tertentu yang bersekolah di sekolah-sekolah kerajaan di negara ini.

Sesi kongsisama berlangsung di bilik mesyuarat sekolah pada jam 2 petang. Selain dari guru-guru, Cikgu Haji Suhaili bin Haji Jaafar, Guru Besar dan juga selaku pengerusi majlis, Cikgu Saramah binti Mail, Penolong Guru Besar I dan Cikgu Hajah Samziah binti Haji Sabtu, Penolong Guru Besar II juga bersama-sama menghadiri sesi kongsisama tersebut.

Antara yang dikongsikan ialah tujuan penubuhan unit iaitu untuk mengawal kemasukan pelajar-pelajar yang ingin belajar di Negara Brunei Darussalam, membantu hal ehwal keselamatan negara dan bekerjasama dengan pihak imigresen bagi mengeluarkan Pas Penuntut.

Unit ini juga berperanan mengeluarkan Surat Akuan Belajar (SAB) sebagai pengesahan kepada pelajar-pelajar asing yang hendak belajar di negara ini, untuk mendapatkan Pas Penuntut dari Pengarah Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan Negara Brunei Darussalam selaras dengan Akta Imigresen Penggal 17 di bawah peraturan 83(1)(c) dan 11(1) Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan Negara Brunei Darussalam.

Antara lain yang ditekankan ialah pemohon yang dimestikan untuk memohon SAB seperti status pemohon stateless, anak warganegara Brunei yang lahir di luar negara dan sebagainya. Juga diterangkan tarikh permohonan diterima bermula pada 1 Julai hingga 30 Jun pada tahun depannya.

UPB berfungsi di bawah Jabatan Sekolah-Sekolah, Kementerian Pendidikan. Unit ini ditubuhkan pada 1 Julai 1984. Untuk maklumat lanjut bagi sekolah-sekolah lain yang berkeinginan mengetahui tentang peranan UPB melalui sekolah-sekolah kerajaan boleh dihubungi di alamat dibawah.

Jabatan Sekolah-Sekolah,
Blok 2J 03-04,
Kondominium Ong Sum Ping,
Bandar Seri Begawan KA1311,
Kementerian Pendidikan.
Fax: 2230144
Tel: 2230145 / 2230146

 


Categories: