Majlis Khatam Al-Quran

Posted by Unknown on Wednesday, August 17, 2011 with 1 comment
Berlangsung pada hari Selasa, 15 Ramadhan 1432 Hijrah bersamaan dengan 16 Ogos 2011 bertempat di dewan Sekolah Rendah Tungku, majlis Khatam Al-Quran sempena Nuzul Al-Quran di bulan Ramadhan telah selamat disempurnakan bagi guru-guru sekolah ini.

Majlis diungkayahkan oleh guru-guru ugama selaku Setiausaha Bersama yang diketuai oleh  Ustaz Haji Salleh bin Haji Nasir serta dibantu oleh Ustaz Amiruddin bin Haji Md Zaini, Ustazah Pengiran Normah binti Pengiran Anom dan Ustazah Nur Ameerah Hafizah binti Haji Mesali.

Tetamu Kehormat di majlis itu ialah Cikgu Haji Zakaria bin Haji Duraman, Pegawai Pelajaran Kanan Daerah Brunei III dari Bahagian Pendidikan Rendah, Kementerian Pendidikan beserta dengan beberapa orang pegawai dari jabatan tersebut. Turut hadir serta mengiringi kehadiran Tetamu Kehormat ialah Guru Besar sekolah, Cikgu Hajah Norliha binti Haji Matali selaku Pengerusi Majlis dan juga Pengerusi Bersama, Cikgu Saramah binti Mail dan Cikgu Hajah Samziah binti Haji Sabtu, Penolong Guru Besar I dan II. Majlis juga dihadiri oleh Guru Besar Sekolah Ugama Tungku dan mantan guru besar sekolah ini iaitu Cikgu Suhaili bin Haji Jaa'far serta dimeriahkan lagi dengan kehadiran guru-guru dan kakitangan yang dikhatamkan serta murid-murid sekolah yang hadir.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai diketuai oleh Tetamu Kehormat dan diteruskan dengan bacaan Surah-Surah oleh guru-guru dan kakitangan yang dikhatamkan hingga selesai. Kemudian diikuti dengan bacaan Takhtim dan doa khatam oleh Ustaz Amiruddin bin Haji Zaidi. Dikir Marhaban beramai-ramai dan menabur bunga rampai oleh Tetamu Kehormat bagi guru-guru dan kakitangan yang dikhatamkan menjadi acara kemuncak di majlis itu.

Sebelum majlis bersurai, Cikgu Hajah Norliha binti Haji Matali berkenan menyampaikan cenderahati kepada Tetamu Kehormat sebagai tanda penghargaan menghadiri majlis Khatam Al-Quran Sekolah Rendah Tungku. Bacaan doa selamat dibacakan oleh Ustaz Haji Salleh bin Haji Nasir dan seterusnya sesi bergambar ramai bersama Tetamu Kehormat.


lebih banyak gambar di Facebook kami
Categories: