Tungku Primary School, Brunei III Cluster 1

Twitter Updates

28 November 2010

Murid Terbaik dan Cemerlang SR Tungku Brunei III

Majlis bersejarah Penyampaian Hadiah Murid Terbaik dan Cemerlang yang berlangsung di dewan Sekolah Rendah Tungku pada 27 November 2010 akan menjadi kenangan sepanjang masa bagi mereka yang berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan sekolah.

Majlis dihadiri oleh Tetamu Kehormat Cikgu Hajah Hasnah binti Kula, Pemangku Penolong Pengarah Daerah / Pegawai Pelajaran Kanan Daerah Brunei III. Turut meraikan di majlis itu ialah Penyelia Kanan Daerah Brunei I & III, Penyelia Daerah Brunei III, Guru Besar Cikgu Suhaili bin Haji Jaafar selaku pengerusi majlis, Penolong-Penolong Guru Besar I dan II SR Tungku Cikgu Saramah binti Mail dan Cikgu Fizawati binti Haji Khanafiah selaku timbalan pengerusi, Ketua Kampong Tungku, Penghulu Mukim Gadong A, Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Rendah Tungku, ibu bapa serta penjaga murid, guru-guru dan murid-murid yang diraikan.

Seramai 66 orang murid terbaik dengan peratus keseluruhan tertinggi menerima hadiah penghargaan hasil usaha mereka dalam pembelajaran. Enam orang murid terpilih dinobatkan sebagai murid cemerlang bagi tahun 2010 iaitu Nurul Fatihahtul Fazirah binti Roslan dari Pra B, Nur Izzah Imanina binti Mohd Roslan dengan mendapat 89.93% dari Tahun 1B, Mohammad Hazeeq bin Kiflee dari Tahun 2A dengan 88.00%, Nur Sabrina Mazidah binti Haji Mazlan dengan 95.17% dari Tahun 3A, Md Alif Afiq bin Haji Hasmiewandi dengan 87.60% dari Tahun 4C, Ak Abd Hafiz bin Pg Md Yacob dari Tahun 5A dengan 85.63% dan Aina Karmila binti Awg Mekrat dengan mendapat 5A (AAAAA) dalam peperiksaan PSR yang lalu.

Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan dari Guru Besar sekolah ini dan disusuli oleh ucapan dari Tetamu Kehormat. Persembahan Koir Lagu Sekolah oleh murid-murid Tahun 3 dan 4, Tarian Asli Brunei oleh murid-murid Tahun 4 dan 5 serta lakonan oleh Tahun 3 dan 5 memeriahkan lagi suasana di majlis itu. Majlis juga diselajurkan dengan penyampaian cenderahati oleh Guru Besar sebagai tanda penghargaan kepada semua guru-guru SR Tungku.

Majlis berakhir dengan jamuan yang disediakan dan bergambar ramai guru-guru sekolah ini bersama Tetamu Kehormat di bilik mesyuarat sekolah.

17 November 2010

Salam Aidiladha!!


Selamat Menyambut Hari Raya Aidiladha

dari kami,
Guru-Guru dan Kakitangan serta penuntut-penuntut
Sekolah Rendah Tungku Brunei III

10 November 2010

Taklimat Pra Tahun 2011


Persediaan bagi tahun 2011, taklimat informasi untuk murid-murid pra bagi tahun 2011 telah diungkayahkan oleh guru-guru kelas pra untuk ibu bapa dan penjaga di Dewan Sekolah Rendah Tungku pagi tadi.

Taklimat disampaikan oleh Cikgu Hajah Rohani binti Haji Mantok, Cikgu Hajah Serimah binti Haji Ali dan Cikgu Kartini binti Abdullah. Taklimat juga dihadiri oleh ibu bapa dan penjaga murid serta Cikgu Saramah binti Mail, Penolong Guru Besar I dan Cikgu Fizawati binti Haji Khanafiah, Penolong Guru Besar II.

Taklimat bertujuan mendedahkan kepada ibu bapa dan penjaga murid mengenai kelas Pra tentang disiplin dan peraturan-peraturan sekolah serta pembelajaran khas pra yang akan diajarkan kepada anak-anak mereka di tahun depan.



16 October 2010

Hari Raya + Hari Guru = Hari RaGu YaRu 2010.. eH??



Sejurus selepas sembahyang sunat hajat bagi Tahun 6 yang menghadapi PSR diungkayahkan, sambutan Hari Raya dan Hari Guru yang diadakan serentak telah memeriahkan suasana dewan SR Tungku pada pagi hari Khamis, 30 September 2010.

Majlis dimulakan dengan kata-kata aluan dari Penolong Guru Besar I, Cikgu Saramah binti Mail dengan ucapan khas Hari Guru dan seterusnya ucapan khas Hari Raya kepada semua murid-murid serta guru-guru yang hadir pada waktu itu. Turut hadir di majlis itu ialah Guru Besar, Cikgu Haji Suhaili bin Haji Jaafar dan Penolong Guru Besar II, Cikgu Fizawati binti Haji Khanafiah.

Majlis diserikan dengan persembahan Hari Raya dan Hari Guru dari murid-murid Pra, Tahun 1 hingga Tahun 6. Persembahan dan pertandingan fesyen Hari Raya meriuhkan lagi suasana keramaian dengan gaya dan aksi murid-murid yang menyertai pertandingan tersebut. Hadiah bagi pemenang-pemenang telah disampaikan oleh Penolong Guru Besar I.

Guru Besar, Cikgu Suhaili bin Haji Jaafar, berkesudian menyampaikan derma hasil kutipan dari murid-murid serta ibu bapa dan penjaga dan guru-guru kepada salah seorang murid di sekolah ini yang telah menjadi mangsa kebakaran di rumah beliau di Kampong Tungku.

Acara kemuncak dimajlis itu ialah penyampaian cenderahati khas Hari Guru oleh Guru Besar kepada semua guru-guru Sekolah Rendah Tungku Brunei III dan diikuti dengan sesi bersalaman bersama murid-murid dan guru-guru sempena Hari Guru dan Hari Raya bagi tahun 2010. Majlis berakhir dengan kunjungan berhari raya ke kelas-kelas dari Pra hingga Tahun 6 diketuai oleh Guru Besar dan diiiringi oleh guru-guru yang lain dengan hidangan hari raya yang istimewa.


Pendaftaran Profil & iNEIS Online

Popular Posts